LUMUT – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah menerima laporan berhubung isu penggantungan kerja seorang pakar runding sambilan yang didakwa melakukan gangguan seksual di sebuah hospital universiti pakar kanak-kanak.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk melakukan siasatan membabitkan ketua jabatan terlibat dan individu yang dituduh.
“Untuk peringkat ini kita minta supaya siasatan seperti yang dilaporkan itu dibuat bukan semata-mata membabitkan ketua jabatan yang berkenaan, tetapi juga ke atas individu (doktor pakar) yang dituduh itu.
“Saya sudah pun minta laporan, yang mana ini lanjutan daripada kononnya pihak ketua jabatan yang berkenaan memecat seorang doktor pakar di hospital. Seolah-olah menganggap kita tidak mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian program Projek Program Pemindahan Ilmu (KTP) Program Keusahawanan Kelulut Masyarakat Madani Pangkor anjuran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Pulau Pangkor hari ini.
Terdahulu, satu hantaran tular di media sosial mempersoalkan tindakan pengarah hospital berkenaan mengeluarkan arahan penggantungan kerja seorang pakar runding sambilan di hospital tersebut.
Zambry pada masa sama meminta semua pihak tidak memperbesarkan isu berkenaan dengan membuat tohmahan dan menyebarkan kenyataan tanpa memeriksa latar belakang kes tersebut. – KOSMO! ONLINE