PETALING JAYA – Bekas pemenang Hadiah Kewartawanan 2005 (Institut Akhbar Malaysia), Muhammad Basir Abu Bakar, 46, meninggal dunia di Hospital Serdang hari ini.
Perkara itu dimaklumkan oleh anak saudara beliau dikenali sebagai Wanie Mat Noor menerusi akaun Facebook malam ini.
“Mohon semua sedekahkan al-Fatihah buat bapa saudara saya, Muhammad Basir yang baru sahaja menghembuskan nafas terakhir sebentar tadi di wad Unit Penjagaan Kritikal (CCU) Hospital Serdang.
“Semoga Allah merahmati roh Allahyarham,” katanya menerusi satu hantaran kira-kira satu jam lalu.
Muhammad Basir beberapa hari lalu turut membuat hantaran di Facebook memaklumkan beliau perlu dirawat di Hospital Serdang ekoran keadaan kesihatannya yang semakin merosot.
“Saya minta maaf atas kesalahan. Doakan saya sihat saya di Hospital Serdang. Tak Sihat,” katanya.
Difahamkan, beliau mengalami masalah jantung dan disahkan mengalami beberapa komplikasi lain termasuk hati dan buah pinggang.
Allahyarham pernah bertugas di akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia sebelum syarikat Utusan Melayu Bhd ditutup pada 9 Oktober 2019.
Isteri beliau, Allahyarham Noor Azlina Jaafar yang juga bekas kakitangan Utusan Melayu meninggal dunia pada Oktober 2023. – KOSMO! ONLINE