KUALA LUMPUR – “Ini sejarah yang tidak boleh dijual beli”.
Demikian kata penyanyi Datuk Awie selepas menerima sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) di atas pentas konsert Triad yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur malam tadi.
Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 57, diiktiraf MBOR dalam kategori artis pertama yang mengetuai persembahan tiga kumpulan rock ikonik negara iaitu Wings, Search Kid Din dan Dragon Malaya dalam sebuah konsert pada tahun ini.
Kata Awie yang juga vokalis kumpulan Wings, pengiktirafan tersebut cukup berharga baginya.
“Sejarah ini saya kongsi dengan Wings, Search dan Dragon Malaya. Terciptanya sejarah ini atas usaha kental mereka semua.
“Anda menjadi saksi wujudnya sekeping sijil ini. Selepas ini sejarah lebih besar akan tercipta,” kata Awie selepas menerima sijil Malaysia Book of Records itu daripada wakil MBOR iaitu Megat Faris Hussein Megat Muzafar Shah.
Dalam konsert Triad yang dihadiri oleh 2,400 peminat itu, Awie turut sempat memuji kumpulan Search yang turut serta dalam persembahan itu.
“Mereka yang masih lagi bersama, bagi saya kumpulan Search adalah pemuzik lagenda sebenar, ‘the fathers of rock’.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/AWIE-TRIAD-2-1024x682.jpeg)
“Saya di atas pentas ini tidak masuk, tidak keluar dan saya tidak berseorangan pun kerana bersama pemuzik serta penyanyi latar yang sentiasa mengiringi persembahan saya,” ujar Awie.
Sementara itu, Awie turut membuka kasut ketika persembahan kerana mengalami kekejangan kaki.
Konsert Triad yang berlangsung selama dua jam lebih itu menyaksikan Awie mendendangkan sebanyak 25 buah lagu antaranya, Sejati, Lipas Kudung, Kuda Tiga Kaki, Mabuk Cinta, Kejora dan Mentari Merah Di Ufuk Timur.
Mencipta kelainan, Awie turut mendendangkan lagu Taman Rashidah Utama, Maya, Nur Nilam Sari dan Kereta Merah bersama kumpulan koir.- KOSMO!ONLINE