JASIN – Tiada apa yang mampu diungkapkan seorang ibu selain memohon agar dosa-dosa anaknya diampunkan sebagai melihat jenazah mangsa yang ditemukan lemas di sungai Kesang berhampiran Loji Lanchang di Kampung Lanchang, Merlimau di sini hari ini.
Mayat Nur Fitri Abdul Rahman, 21, ditemukan oleh anggota PPDA kira-kira pukul 2.21 petang selepas bot yang dinaiki bersama abang sulungnya, kakak ipar dan anak buahnya terbalik sewaktu sedang menjala ikan pada pukul 10.30 pagi.
“Ampunkan dosa anakku,” ujar ringkas Salmiah Abdul Malik, 67, sambil menitiskan air mata sebelum dipapah oleh ahli keluarganya.
Dalam kejadian itu, tiga ahli keluarganya berjaya diselamatkan oleh orang awam dan telah dihantar ke Hospital Jasin untuk rawatan lanjut.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Merlimau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd. Farid Abu Bakar berkata, mayat mangsa ditemukan oleh anggota PPDA kira-kira pukul 2.21 petang.
Menurutnya, jasad Muhammad Nur Fitri tersangkut di celah akar menjalar di dasar sungai tersebut selepas usaha mencari dari tempat bot terbalik hingga ke muara sungai tersebut selama empat jam gagal menemui mangsa. – KOSMO! ONLINE