KUALA LUMPUR – Polis merampas 50 tan guni mengandungi peluru dan kelongsong yang ingin dileburkan secara tidak sah dalam serbuan ke atas sebuah kilang memproses sisa elektronik atau e-waste di Teluk Panglima Garang di sini, hari ini.
Serbuan melalui Op Hazard yang bermula pukul 9 pagi tadi dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah dengan dibantu Pasukan Gerakan Udara (PGU) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Mohamad Suzrin Mohamad Rodhi berkata, operasi dijalankan hasil risikan pihaknya terhadap kilang memproses sisa e-waste secara haram melibatkan proses peleraian serta pengasingan bahan berbahaya tanpa lesen sah.
“Siasatan awal percaya peluru-peluru ini bukan dari Malaysia dan kita sedang kenal pasti sumbernya.
“Berdasarkan tinjauan yang dilakukan, didapati peluru serta kelongsong akan diproses dengan kaedah dibakar sebelum diasingkan menjadi jongkong timah serta tembaga,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan hari ini.
Mohamad Suzrin berkata, difahamkan kira-kira 70 hingga 80 pekerja diperiksa untuk siasatan sama ada mereka mempunyai dokumen atau sebaliknya selain pelbagai rampasan termasuk mesin memproses.
Tegasnya, ini merupakan keperluan dalam usaha membasmi e-waste haram daripada merosakkan alam sekitar negara.
“Kes disiasat mengikut Undang-undang Kecil (UKK) 3 dan UKK 38, Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Klang) 2007 dan Kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.
“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 55 (b) Akta Imigresen , Seksyen 18, 19, 25, 34a dan 34b Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, Op Hazard ini dilaksanakan serentak membabitkan 765 keanggotaan di seluruh negara.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Bahan Berbahaya JAS, Azlan Ahmad berkata, pihaknya mendapati kilang terbabit tidak mempunyai lesen melerai dan melebur.
“Kita kesan ada aktiviti meleburkan peluru selain premis membuat pembakaran terbuka serta kemungkinan pelepasan gas berbahaya.
“Peluru disenaraikan dalam senarai bahan letupan dan ini pertama kali dikesan. Kita memandang serius perkara ini,” katanya.
Tinjauan mendapati kilang terbabit turut menempatkan penempatan bagi kediaman pekerja disyaki warga asing yang menggunakan kontena selain beberapa dapur tempat peleburan juga dikesan bersama beberapa jongkong timah.
Selain itu, pelbagai timbunan bertan guni berisi pelbagai sisa e-waste juga dipercayai dalam tindakan untuk dilerai oleh pekerja asing terlibat— KOSMO! ONLINE