RAPPER tersohor dunia, Kendrick Lamar mencatat sejarah apabila persembahannya pada separuh masa Super Bowl 2025 ditonton lebih 133 juta pengunjung.
Jumlah tersebut merupakan tertinggi sepanjang penganjuran acara tersebut meskipun persembahan Kendrick dikatakan terburuk dalam sejarah.
Menurut teori konspirasi di Hollywood, seseorang artis atau penghibur tidak akan mengecap kejayaan berterusan andai tidak membuat perjanjian dengan gerakan rahsia, Illuminati yang menjanjikan kemasyhuran dari segi pengaruh, populariti dan wang.
Berikut merupakan antara selebriti wanita popular dunia yang dikhabarkan ada pertalian dengan gerakan Iluminati, sekali gus dikatakan sebagai penyembah syaitan untuk mendapatkan kejayaan pantas dalam industri hiburan Barat.
Lady Gaga
Merupakan antara bintang pop terlaris dunia, Lady Gaga atau Stefani Joanne Angelina Germanotta acapkali dikaitkan sebagai penyembah syaitan sekali gus dikatakan bernaung bawah gerakan Iluminasi demi meneruskan kemaraan sebagai penghibur.
Kini meledak dengan single terbaharu berjudul Abracadabra, ketika awal kemunculan, Gaga dikatakan terlibat dengan pelbagai ritual gerakan rahsia termasuk ketika mengadakan persembahan bermandikan darah pada acara Video Music Awards 2009.
Tidak terhenti di situ, spekulasi Gaga sebahai ahli Freemason dikuatkan lagi dengan kemunculan album Born This Way (2011). Kebanyakan fesyen digayakan Gaga ketika era tersebut menjadi buah mulut sedunia.
Katy Perry
Katy atau nama sebenarnya, Katheryn Elizabeth Hudson juga terpalit dakwaan menyertai gerakan Freemason. Ketika awal karier, Katy disifatkan sebagai seorang yang manis dan tiada kontroversi. Menerusi album Prism yang diluncurkan pada 2013, dia semakin berani dengan imej mencetuskan kontroversi termasuk ketika lagu Dark Horse menjadi siulan dunia.
Ramai penganut Islam berang dengan tindakan Katy yang memasukkan babak menyentuh sensitiviti termasuklah adegan seorang lelaki memakai rantai bertulis Allah yang kemudiannya bertukar lenyap menjadi pasir.
Karier pelantun lagu Roar itu bagaimanapun merudum sejak album Prism dan sehingga kini Katy masih tercari-cari rentak untuk merelevansikan namanya dalam dunia muzik global. Album terakhirnya yang dirilis tahun lalu 143 disifatkan paling merugikan dan mendapat rating terburuk daripada peminat.
Miley Cyrus
PERNAH terkenal dengan imej remaja kesayangan dunia impak karakter Hannah Montana, desas-desus pemilik nama sebenar Miley Ray Cyrus itu bernaung bawah gerakan Freemason bertiup kencang selepas putus cinta dengan Liam Hemsworth pada 2019.
Miley yang ketika itu ‘mendunia’ menerusi single We Can’t Stop dan Wrecking Ball mula berubah penampilan menjadi wanita liar. Ketika itu Miley dikatakan sudah dibasuh otaknya demi kegemilangan serta kemasyhuran sebagai penghibur. Imejnya kini lebih feminin dengan karier meroket terutama selepas peluncuran single Flowers yang dimuatkan dalam album Endless Summer Vacation.
Beyonce
Merupakan pemegang rekod penghibur dengan trofi Grammy terbanyak iaitu 35, Beyonce atau Beyoncé Giselle Knowles memulakan karier dalam dunia muzik bersama kumpulan Destiny’s Child.
Ramai pengkritik seni berpendapat, kejayaan dimiliki Beyonce tidak datang daripada titik peluhnya sahaja. Seperti Gaga, Beyonce juga sering memasukkan elemen Freemason atau Illuminati ke dalam visual muziknya. Selain imej mencolok mata, isteri Jay-Z itu acapkali muncul dengan penampilan yang cenderung kepada simbol sinonim Freemason, termasuklah The All Seeing Eye dan triangle atau segi tiga pada persembahan separuh masa Super Bowl 2013.
Rihanna
Rihanna merupakan kesayangan ramai peminat muzik dunia dan pemuzik wanita paling kaya dengan jumlah harta mencecah bilion. Meskipun tidak lagi aktif menyanyi, Rihanna atau Robyn Rihanna Fenty kekal kaya impak jenama Fenty Beauty miliknya. Ada yang berpendapat, Rihanna masih kekal dalam industri seni impak ‘kontrak’ dengan gerakan Freemason yang sekali gus menampakkan label penyembah syaitan ke dahinya. Pada persembahan separuh masa Super Bowl 2023, pasangan A$AP Rocky itu melunaskan persembahan dengan pelbagai elemen dikaitkan dengan Illuminati, termasuklah menunjukkan simbol berbentuk berlian menggunakan tangan kepada penonton.