TOKYO – Sebuah zoo di Jepun melarang lelaki bujang memasuki tempat tersebut berikutan kes gangguan terhadap pengunjung wanita, lapor laman berita South China Morning Post semalam.
Zoo Healing Pavilion itu terletak di wilayah Tochigi.
Ia adalah zoo interaktif yang membenarkan pelawat memberi makan atau memeluk haiwan seperti kucing, anjing, babi dan biri-biri.
Pengarah Zoo Healing yang dikenali sebagab Miss Mama mengumumkan larangan tersebut di media sosial pada 26 Januari lalu.
“Pengunjung lelaki dilarang memasuki zoo seorang diri. Larangan ini berkuat kuasa serta-merta,” kata Miss Mama.
Notis di pintu masuk zoo menyatakan, lelaki solo mesti ditemani keluarga atau rakan.
“Sejak zoo ini ditubuhkan, majoriti pengunjung adalah keluarga atau pasangan. Namun, terdapat beberapa lelaki bujang cuba mengganggu dan menggoda pengunjung wanita.
“Individu-individu ini terlibat dalam tingkah laku kurang sopan atau membuat kenyataan lucah,” tambahnya.
Mama menegaskan bahawa Zoo Healing Pavilion dibuka untuk ‘menyembuhkan emosi’ dan bukan tempat mencari jodoh.
“Peraturan ini bukan berdasarkan keangkuhan atau salah faham terhadap lelaki,” tambah Mama. – AGENSI