GABUNGAN Datuk Hattan, Hazama dan Black Hanifah buat julung kali dalam Konsert Hitam Manis di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8 Februari lepas boleh dikatakan sebagai gandingan trio hebat.
Masakan tidak, ketiga-tiga mereka mempunyai keistimewaan vokal tersendiri sehingga mampu memukau lebih 2,500 penonton daripada pelbagai latar belakang.
Membuka pentas dengan lagu Duit, penampilan tersebut sudah membuatkan khalayak tertunggu-tunggu elemen kejutan yang seterusnya.
Konsert dibawakan secara eksklusif Reacch Events meletakkan Hazama sebagai artis pertama memanaskan pentas.
Pemilik nama lengkap Hazama Ahmad Azmi, 40, menyampaikan beberapa lagu popularnya seperti Di Amarah Mama, Sampai Mati, Cinta Teragung, Semacam Pandora, Relakan Jiwa dan Penglipur Lara.
Tidak dilupakan, dengan lagu Umi nyanyian asal Datuk Shake didedikasi buat ibunya Hasmah Zahari yang turut hadir menjadi saksi hari penting puteranya itu.
Istimewanya, Hazama berada satu pentas dengan isterinya, Genervie Kam yang dipertanggungjawabkan sebagai pengarah muzik bagi malam tersebut.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/DSC05543_DxO.jpg)
Usai persembahan Hazama, kehadiran Black Hanifah melonjakkan lagi momentum malam yang ‘Hitam Manis’ apabila membawakan Sofea Jane, Mana Mungkin, Takkan Terpisah, Merisik Khabar, Hijab Rindu dan Aku Rindu Sayang Kamu.
Tidak hanya itu, pemilik nama sebenar Hanifah Muhammad Hanafiah itu turut disertai anak sulungnya, Khaleef Dayyan yang mempersembahkan lagu Pok Pet.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/ADN00788_DxO.jpg)
Black memaklumkan puteranya itu sendiri membuat permintaan untuk menyanyi pada malam berkenaan.
Kemunculan Dayyan juga membuatkan penonton kagum dengan kehebatan kanak-kanak berusia 10 tahun itu yang berani berada di pentas mega.
Segmen paling ditunggu-tunggu adalah kemunculan Datuk Hattan yang menonjolkan persembahan memukau dengan lagu Biso Bonar, Rendang Tak Berbuah, Gerhana, Mahligai Syahdu, Meniti Perjalanan dan Memburu Rindu.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/ADN01046_DxO.jpg)
Malam tiga lelaki yang ‘hitam manis’ tersebut turut menyajikan segmen ketiga-tiga penyanyi membuat persembahan secara trio dan duo dengan lagu Rindu Bertandang Lagi, Drama King dan Dari Kekasih Untuk Kekasih.
Sepanjang segmen, tiga penyanyi dengan kuasa vokal itu tidak henti-henti membuat lawak spontan, sekali gus membuatkan dewan bergema dengan gelak tawa penonton.
Kali pertama disatukan dalam sebuah konsert besar bahkan mungkin konsert pertama Hazama dan Black di KLCC, acara ini boleh dipuji, tinggal lagi Hazama dan Black harus membina aura lebih hebat untuk memukau ribuan khalayak dalam sebuah konsert berbayar, bukannya ‘Hiburan Minggu Ini’.
Sebelum menutup tirai, Hattan juga menampilkan anaknya Adam Eiman menyampaikan lagu Gadis Jolobu sebelum mengakhiri malam tersebut dengan lagu Hitam Manis.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/DSC03861_DxO.jpg)