fbpx

Usahawan Islam perlu diperkasa, Jitu dan YaPEIM perkukuh kerjasama – Ahmad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad ketika berucap merasmikan AGM Jitu Kebangsaan kali pertama 2025, hari ini.

KUALA LUMPUR – Usahawan Islam perlu diperkasakan bagi memastikan umat Islam tidak ketinggalan dalam sektor ekonomi, termasuk dalam pengeluaran produk halal.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Pertubuhan Jaringan Ikatan Ummah (Jitu) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) perlu memperkukuh kolaborasi strategik dengan menganjurkan seminar serta kursus kesedaran keusahawanan bagi masyarakat Islam.

Katanya, program ini bertujuan menggalakkan lebih ramai umat Islam menjadi usahawan, bukan sahaja sebagai sumber pendapatan tetapi juga untuk memenuhi tuntutan fardu kifayah dalam penyediaan produk halal.

“Umat Islam perlu lebih aktif dalam bidang ekonomi. Daripada 50 individu terkaya Malaysia dalam senarai Forbes 2024, hanya tiga usahawan Islam tersenarai iaitu Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim dan Tan Sri Azman Hashim.

“Justeru, kesedaran dan bimbingan perlu diberikan bagi membentuk lebih ramai usahawan Islam yang berjaya,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Jitu Kebangsaan kali pertama 2025 di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden Jitu, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Timbalan Presiden Jitu, Datuk Zubir Embong.

Selain itu, Ahmad turut menggalakkan penggunaan teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI) dan media sosial bagi memperluaskan capaian serta memperkasa aktiviti keusahawanan.

“Badan bukan kerajaan perlu menggunakan kecanggihan teknologi dalam menarik lebih ramai ahli dan mentransformasikan aktiviti mereka ke tahap lebih tinggi,” katanya.

AGM Jitu Kebangsaan berlangsung hari ini selama sejam, menandakan perkembangan penting bagi pertubuhan itu sejak didaftarkan secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) pada 16 Januari 2024.

Sehingga kini, Jitu mempunyai lebih 500 ahli di seluruh negara dengan sembilan cawangan negeri telah berdaftar dengan ROS iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Terengganu, Kelantan, Johor dan Pulau Pinang.

Pahang dijangka menjadi negeri seterusnya yang akan mendaftarkan cawangannya dalam masa terdekat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI