LONDON – Bekas pengendali Manchester United, Erik ten Hag dikaitkan dengan kepulangan mengejut ke Eredivisie apabila Feyenoord dilaporkan berminat melantiknya sebagai pengganti Brian Priske, yang dipecat awal minggu ini.
Langkah itu bakal mencetuskan kontroversi memandangkan Ten Hag pernah meraih kejayaan besar bersama Ajax iaitu seteru utama Feyenoord.
Pengurus berusia 55 tahun itu dipecat oleh United pada Oktober lalu susulan prestasi hambar pasukan meskipun sempat membantu The Red Devils merangkul Piala Liga Inggeris dan Piala FA dalam tempoh dua musim.
Feyenoord melihatnya sebagai calon ideal untuk menghidupkan semula cabaran mereka dalam liga domestik selepas Priske yang baru dilantik musim panas lalu gagal mengekalkan momentum.
Kelab itu kini ketinggalan 12 mata di belakang Ajax dan meskipun Ten Hag masih belum memberi jawapan rasmi, rekodnya di Eredivisie termasuk tiga gelaran liga bersama Ajax, menjadikannya pilihan menarik bagi kelab itu.
Ketika ini, Pascal Bosschaart mengambil alih tugas sebagai pengendali sementara dan bakal memimpin Feyenoord dalam perlawanan penting playoff Liga Juara-Juara menentang AC Milan pada Selasa depan. – AGENSI