PETALING JAYA – Teka-teki terjawab, aktor Syafiq Kyle selamat bernikah dengan pelakon Mimi Lana dalam sebuah majlis tertutup hari ini.
Ibarat mengambil berkat Nisfu Syaaban, Syafiq, 33, menzahirkan rasa syukur apabila selamat bergelar suami kepada pemilik nama penuh Mimi Rozaiana Zainal Abidin.
“Alhamdulillah, selamat bernikah pada hari Jumaat yang penuh barakah,” katanya dalam Instagram.
Dalam perkongsian sama, dua bintang filem The Experts itu manis duduk di atas pelamin dan lengkap berbusana pengantin berwarna putih.
“Syukur, saya sangat gembira untuk awak berdua,” kata pelakon Azira Shafinaz.
“Semoga kekal sampai syurga,” ucap pengacara, Haziq Husni.
Sementara, selain ucapan tahniah, ruangan komen juga dibanjiri dengan luahan rasa kecewa peminat wanitanya.
“Patah hati tengok hantaran ini.
“Tersedak, tergaman dan terluka.
“Kecewa Fikry Ibrahim kahwin tak habis lagi, sambung yang ini pula
“Aku seorang sahajakah yang menangis tengok perkongsian ini,” komen netizen.
Sebelum ini, mereka sepatutnya melangsungkan pernikahan pada 18 Ogos 2023, namun majlis itu dibatalkan.
Tidak memperincikan punca pembatalan perkahwinan itu, Syafiq dan Mimi bagaimanapun mengaku tetap berkawan baik dan sedia bekerjasama dalam mana-mana projek drama mahupun filem. – KOSMO! ONLINE