PETALING JAYA – Mana-mana individu yang menyimpan dan melepaskan hidupan liar tanpa lesen yang sah boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.
Ketua Pengarah Perhilitan Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, ia berikutan ular sawa adalah spesies hidupan liar yang dilindungi mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Mana-mana pemegang lesen menyimpan adalah tertakluk untuk mematuhi syarat lesen yang ditetapkan.
“Ini termasuklah apa-apa aktiviti berkaitan seperti pelepasan semula hidupan liar yang memerlukan kebenaran daripada pegawai pelesen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media sebelum ini melaporkan dua individu berusia 35 dan 53 tahun yang disyaki melepaskan tiga ular sawa dalam longkang berhampiran kawasan perumahan di Putra Heights, Subang Jaya ditahan Jabatan Perhilitan, Selasa lalu.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kejadian itu dirakam seorang individu sebelum memuat naik di Facebook Putra Heights Residents.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 5.52 petang pada 3 Februari lalu.
Menurut Wan Azlan, kes dirujuk kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE