KUALA LUMPUR – Gara-gara watak Falah lakonannya dalam Andai Tiada Dia ‘dimatikan’ pada episod akhir, aktor Zahiril Adzim mendedahkan ramai menyangka dirinya benar-benar sudah meninggal dunia ketika ini.
Menurut Zahiril, 40, situasi tersebut berlaku apabila poster kematian watak Falah yang memaparkan wajahnya selain diletakkan ‘al-Fatihah’ tular dalam media sosial.
“Macam-macam perangai peminat drama itu yang saya jumpa termasuk menyangka saya sudah mati selepas tular poster ‘al-Fatihah Falah’ itu.
“Saya ingatkan satu gurauan tetapi rupa-rupanya dia memang percaya saya sudah mati.
“Kemudian saya jelaskan, saya hidup lagi dan alhamdulillah sebab doakan saya supaya panjang umur,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis tayangan program Ramadan Unifi TV di sini, baru-baru ini.
Berhadapan dengan segelintir peminat esktrem, Zahiril berkata imaginasi yang dicipta tidak seharusnya berlebih-lebihan sehingga membayangkan perkara melampaui batas.
“Mereka ada macam-macam imaginasi cuma janganlah sampai berharap perkara yang tidak logik dan bukan-bukan.
“Kalau minat saya, perlu tahu saya sudah berkahwin, ada anak dan isteri. Jadi, jagalah batas dan janganlah meminta perkara bukan-bukan.
“Saya pelakon pun cuba jaga batas di set penggambaran, mereka pula yang minta berlebihan,” katanya lagi.
Ditanya sama ada fenomena Falah masih wujud atau tidak, dia merasakan perkara tersebut sudah berakhir ditambah pula dengan kegilaan ramai terhadap drama Curang Tanpa Niat ketika ini.
Akuinya, fenomena Falah dan juga drama Andai Tiada Dia membuktikan naskhah tanah air masih mempunyai peminat dan diraikan orang ramai.
“Fenomena Falah sudah habis agaknya sebab ada drama Curang Tanpa Niat.
“Saya pun sudah ‘move on’. Falah adalah salah satu perkara yang terbaik berlaku dalam lembaran kerjaya seni saya.
“Paling saya seronok melihat impaknya ialah orang sampai mencari lokasi rumah yang kami guna dalam drama itu.
“Dari situ, saya rasa industri kita dihargai sebab sudah lama tak nampak situasi begini. Drama tempatan diraikan dan ditonton sehingga tahap begitu,” tuturnya.
Terdahulu, nama Zahiril meledak dalam media sosial susulan melakonkan watak lelaki ‘green flag’ iaitu Falah dalam drama Andai Tiada Dia di samping Ummi Nazeera, Hisyam Hamid dan Mimi Lana. – KOSMO! ONLINE