KUALA SELANGOR – Kegiatan empat premis dikendalikan warga asing di Pusat Perdagangan Alam Jaya, Puncak Alam di sini, digempur pihak berkuasa dan diarah tutup semalam.
Kesemua premis tanpa lesen masing-masing melibatkan dua restoran dan pusat cuci kereta yang dipercayai beroperasi sejak lima bulan lalu diserbu pukul 10 pagi menerusi Operasi Bersepadu Premis Warga Asing.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, operasi selama empat jam itu hasil aduan dan maklumat mengenai aktiviti perniagaan warga asing di kawasan berkenaan.
Katanya, serbuan awal melibatkan dua restoran didapati melanggar beberapa peraturan ditetapkan antaranya beroperasi tanpa lesen, menggunakan iklan tidak sah dan pencerobohan kaki lima.
“Serbuan kemudian dilakukan ke atas dua pusat cuci kereta. Selain kompaun, notis berhenti perniagaan dan arahan tutup serta merta telah dikenakan kepada empat premis itu.
“Beberapa peralatan dan barangan premis turut dirampas seperti tong gas, dapur gerai, meja, penyedut vakum, tong sabun, pam angin dan pam air untuk tindakan lanjut,” katanya hari ini. – KOSMO! ONLINE