fbpx

Rapid KL On-Demand perkenal 6 laluan baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Rapid Bus Sdn. Bhd. (Rapid Bus) akan memperluaskan jaringan rangkaian perkhidmatan Rapid KL On-Demand dengan enam laluan baharu bermula 17 Februari ini.

Ia meliputi laluan T752B dari Putra Heights ke Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Putra Heights dan T821B (Pantai Sentral – LRT Universiti) yang terhubung dengan perkhidmatan rel Rapid KL.

Bagi laluan T252B dari Danau Kota ke Jalan Genting Kelang dan T640B (Taman Medan – Jalan Klang Lama) akan menggunakan lorong bas Jalan Genting Kelang dan Jalan Klang Lama.

Selain itu, Rapid KL On-Demand kini tersedia dengan laluan T772B dari Saujana Utama/Elmina ke Jalan Kuala Selangor termasuk T400B yang menghubungkan pengguna ke kawasan Taman Midah.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Ku Jamil Zakaria berkata, usaha tersebut adalah kesinambungan kejayaan pengenalan empat laluan baharu yang telah diperkenalkan pada 1 Februari lalu.

“Rapid Bus akan menambah laluan baharu secara berperingkat sejajar dengan penerimaan van-van baharu.

“Inisiatif ini adalah usaha berterusan Rapid Bus dalam menyediakan servis baharu bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu katanya, perkhidmatan Rapid KL On-Demand menawarkan jaminan tempat duduk yang boleh ditempah setiap hari menggunakan aplikasi Mobi, Trek Rides atau Kummute dari pukul 6 pagi sehingga 11.30 malam.

“Pengguna boleh membuat pembayaran menggunakan Touch ‘n Go, kad konsesi MyRapid, pas perjalanan OKU Smile serta pas perjalanan tanpa had.

“Tambang promosi RM1 dilanjutkan untuk memberi peluang kepada orang ramai khususnya yang belum pernah untuk mencuba dan merasai servis baharu ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI