fbpx

Putrajaya Dynamites mula gempur NSL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTRAJAYA Dynamites (jersi hijau) mencipta kejutan muncul pendahulu bersama KL Wildcats selepas saingan minggu kedua. - NETBALL SUPER LEAGUE

KUALA LUMPUR – Skuad bola jaring Putrajaya Dynamites mencuri tumpuan dalam saingan Liga Super Bola Jaring (NSL) musim 2025 apabila muncul pendahulu bersama Kuala Lumpur (KL) Wildcats selepas minggu kedua saingan. 

Kejayaan itu mengejutkan ramai memandangkan liga sebelum ini didominasi oleh dua gergasi seperti Johor Jewels dan KL Wildcats.

Menurut pengurus pasukan, Nurul Izatulakmar Ishak, Putrajaya Dynamites yang baru menyertai NSL pada 2023, kini dalam misi besar untuk mencipta sejarah mencabar kejuaraan selepas hanya menamatkan saingan musim lalu di tempat keempat.

“Ini merupakan musim kedua kami dalam NSL. Pada musim pertama, kami masih dalam proses menyesuaikan diri dan hanya mampu menamatkan saingan di tempat keempat. 

“Namun, musim ini kami melakukan persiapan lebih awal sejak November lalu bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik,” kata Nurul.

Meskipun dilabel sebagai pasukan underdog, kehadiran beberapa pemain kebangsaan yang berpengalaman menjadi kekuatan utama Putrajaya Dynamites. 

“Kebanyakan pemain kami adalah atlet kebangsaan yang aktif dan berpengalaman. Dengan persiapan rapi, kami optimis dapat meningkatkan kedudukan berbanding musim lepas,” tambahnya.

Sementara itu, Nurul turut mengakui persaingan musim ini lebih mencabar dengan kehadiran pemain import berkualiti tinggi dibawa masuk oleh pasukan lain.

“Musim ini berbeza kerana semua pasukan membuat persiapan lebih rapi dan membawa masuk pemain import yang berkualiti. Saingan dijangka sengit, tetapi kami akan tetap fokus kepada kekuatan pasukan sendiri,” jelas Nurul.

Dalam aksi minggu ketiga NSL yang membuka tirainya malam ini, Putrajaya Dynamites bakal berdepan tiga perlawanan penting menentang Pahang Tulips, KL Wildcats dan Perak Phoenix.

“Kami akan pastikan setiap pemain bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental. Fokus utama kami adalah mengekalkan prestasi terbaik sepanjang musim,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI