BRASILIA – Seorang wanita cedera selepas telefon bimbit yang diletakkan dalam poket belakang seluarnya terbakar ketika membeli-belah di sebuah pasar raya di Brazil, lapor portal berita News 18 semalam.
Kejadian berlaku di bandar Anapolis, daerah Goias.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan wanita berbaju putih itu panik apabila poket belakang seluarnya mengeluarkan api.
Mangsa dibawa ke Hospital Alfredo Abraao dan disahkan mengalami melecur tahap kedua pada bahagian tangan, lengan, badan dan punggung.
Menurut laporan akhbar tempatan, mangsa menggunakan telefon bimbit jenama Motorola Moto E32 yang berusia kurang dari setahun.
Rakaman itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Jangan letak telefon di poket belakang! Sangat bahaya!” kata seorang netizen. – AGENSI