fbpx

Penyampai radio selamatkan lelaki tertekan cuba bunuh diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba bersama penyampai radio tempatan cuba menenangkan mangsa selepas diselamatkan dalam cubaan bunuh diri di Menara LPP, hari ini.

KUALA LUMPUR – Tindakan pantas anggota bomba dengan bantuan seorang penyampai radio tempatan berjaya menyelamatkan seorang lelaki dalam cubaan bunuh diri di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jalan Sultan Salahuddin, di sini hari ini.

Difahamkan, mangsa berusia 49 tahun itu yang bekerja sendiri bertindak sedemikian akibat tekanan hidup.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan melalui sistem MERS999 pada pukul 10.23 pagi.

Katanya, panggilan itu dibuat oleh mangsa sendiri dan dijawab petugas PGO yang mengendalikan proses memujuk individu tersebut menerusi perbualan telefon.

“Individu tersebut juga memohon untuk bercakap dengan kenalannya seorang selebriti tanah air yang juga penyampai radio.

“PGO Kuala Lumpur berjaya menghubungi selebriti itu sebelum menyambungkan talian kepada individu tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) turut menggerakkan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dan Sri Hartamas dengan kekuatan 10 anggota ke lokasi kejadian.

Menurut Komander Operasi Kanan, PgKB II Mohd. Shazzuan Ramli, setibanya pihak bomba di lokasi mangsa didapati berada di hujung bangunan tingkat 11.

“Anggota berdepan kesukaran untuk mendekati mangsa kerana dia memegang parang. Lelaki itu berjaya dipujuk oleh anggota bomba dengan bantuan selebriti tanah air tersebut yang turut hadir ke lokasi,” ujarnya.

Lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI