JOHOR BAHRU – Seorang timbalan pengurus kanan sebuah syarikat swasta direman selama lima hari bagi membantu siasatan meminta rasuah daripada seorang pemilik perniagaan di sebuah terminal feri di negeri ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 48 tahun itu dikeluarkan Majistret Nurmadiana Mamat selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan.
Suspek direman bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Difahamkan, suspek telah meminta wang rasuah daripada pemilik perniagaan yang berurusan di terminal feri di negeri ini bagi memastikan perniagaan dan operasi syarikat berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek menerusi Ops Titanic.
“Suspek telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM Johor pada pukul 8 malam semalam ketika hadir membantu siasatan,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE