ISTANBUL – Kelab gergasi Turkiye, Fenerbahce meletakkan sebelah kaki ke pusingan 16 terbaik saingan Liga Europa selepas menewaskan Anderlecht 3-0 pada aksi pertama playoff di Stadium Sukru Saracoglu awal pagi tadi.
Pada perlawanan itu, skuad Fenerbahce yang dikendalikan oleh Jose Mourinho mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk meraih gol menerusi Dusan tadic, Edin Dzeko dan Youssef En Nesyri.
Tonggak pertahanan Fenerbahce, Milan Skriniar mengakui kemenangan itu sangat penting bagi memastikan misi untuk melangkah ke pusingan 16 terbaik dapat direalisasikan.
“Saya rasa kita bermain dengan baik sepanjang perlawanan dan semua pemain berikan sepenuh tenaga di atas padang. Namun, saya tidak mahu rakan-rakan terlalu bangga kerana masih ada baki 90 minit yang perlu diharungi.
“Kita perlu jangkakan perlawanan yang sukar di tempat lawan nanti tetapi saya kelebihan 3-0 sudah cukup untuk meletakkan sebelah kaki ke pusingan seterusnya. Kita hanya kekalkan fokus dan tidak buka ruang buat mereka bangkit,” katanya.
Sementara itu, pengendali Anderlecht, David Hubert mengakui kualiti pemain bertaraf bintang yang ada pada pasukan tuan rumah telah membezakan kedua-dua kelab pada aksi kali ini.
“Kita boleh lihat Fenerbahce ada ramai pemain yang hebat dan berpengalaman. Mereka membantu pasukan untuk menang manakala kita pula gagal untuk menyudahkan peluang terhidang,” katanya. – AGENSI