KUALA PILAH – Tular di media sosial sejak kelmarin video berdurasi satu minit 30 saat memaparkan satu kejadian di lampu isyarat Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) iaitu sebuah pacuan empat roda jenis Isuzu telah membawa muatan sebuah motosikal beserta penunggang duduk di atas motosikal tersebut.
Pemangku Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden, Shamrol Shah Ramli berkata, pihak Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah telah terkesan video tersebut kira-kira pukul 4.30 petang kelmarin.
Menurutnya, susulan itu, pihaknya telah dapat mengesan dan memanggil pemandu pacuan empat roda serta penunggang motosikal untuk mengetahui punca sebenar.
“Kedua-dua rakaman percakapan mereka telah diambil. Hasil rakaman percakapan yang telah diambil, pemandu pacuan empat roda berniat baik dengan membantu penunggang motosikal yang mengalami masalah tayar bahagian belakang telah pecah di kawasan Bukit Putus.
“Motosikal tersebut telah diletakkan di muatan bahagian belakang pacuan empat roda dan sebab utama penunggang duduk di atas motosikal untuk mengelakkan motosikal tersebut dari terjatuh,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Shamrol lagi, tindakan tersebut bagaimanapun adalah amat berbahaya dan tidak mengutamakan ciri-ciri keselamatan pada penunggang serta pengguna jalan raya yang lain serta kes ini masih dalam siasatan lanjut.
Terdahulu tular video tersebut di pelbagai kumpulan media sosial sehingga mencetuskan pelbagai reaksi netizen. – KOSMO! ONLINE