PETALING JAYA – Tiada angin, tiada ribut, pasangan selebriti popular, Syafiq Kyle dan Mimi Lana dikhabarkan melangsungkan pernikahan, hari ini.
Difahamkan, majlis pernikahan dipercayai berlangsung di Taiping, Perak hanya dihadiri kenalan rapat tanpa sebarang hebahan media.
Lebih menguatkan spekulasi itu, Mimi memuat naik foto dalam Instagram memaparkan jarinya disarungkan cincin bersama tangan lelaki dipercayai Syafiq.
Selain disertakan dengan emoji hati dan cincin, Mimi turut memuat naik gambar dia berpelukan bersama Syafiq.
Selain itu, ibu Syafiq iaitu Rohaya Sulaiman turut memberi bayangan terdapat sesuatu yang bakal berlaku menerusi perkongsian dalam Instagram Story.
“Semoga Allah permudahkan segala urusan kami,” katanya.
Syafiq dalam satu temu bual di sebuah stesen radio mengakui sudah menakluk hati Mimi Lana dan hanya menanti masa yang sesuai untuk meneruskan hubungan mereka.
Sebelum ini, mereka sepatutnya melangsungkan pernikahan pada 18 Ogos 2023, namun majlis itu dibatalkan.
Tidak memperincikan punca pembatalan perkahwinan itu, Syafiq dan Mimi bagaimanapun mengaku tetap berkawan baik dan sedia bekerjasama dalam mana-mana projek drama mahupun filem. – KOSMO! ONLINE