PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar ibrahim membidas pembangkang kerana cuba mengaitkan isu berkaitan Titah Adendum dengan kegusaran pelabur.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kenyataan mengarut pembangkang tersebut sesuatu yang menghairankan dan sulit untuk beliau fahami.
“Mana logiknya isu sebegini dikatakan menyebabkan pelabur tidak yakin dengan dasar negara tatkala nilai pelaburan meningkat ketara.
“Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menggalakkan dan satu persatu syarikat gergasi dunia mengumumkan komitmen melabur di Malaysia. Hairan saya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Perdana Menteri turut mempersoalkan logik keyakinan pelabur terhadap pasaran Bursa Malaysia terkesan sedangkan penjualan pegangan saham oleh pelabur asing hanya 0.2 peratus.
Menurut Anwar, angka 0.2 peratus itu pula daripada jumlah keseluruhan permodalan saham sebanyak RM2 trilion. – KOSMO! ONLINE