PETALING JAYA – Perdana Menteri dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi senada dalam pendirian menolak usaha menghalau rakyat Palestin keluar dari bumi Gaza.
Jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim, langkah Amerika Syarikat (AS) itu bakal memberi dampak buruk terhadap usaha mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka.
“Saya telah menghubungi Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi hari ini dan perbincangan kami menyentuh perkembangan terkini isu kemanusiaan dan usaha pembangunan semula Gaza.
“Saya turut zahirkan penghargaan terhadap pendirian Presiden El-Sisi dan kerajaan Mesir yang terus menghulurkan bantuan dan mempermudahkan usaha Malaysia menyampaikan sumbangan dan perubatan terhadap rakyat Palestin yang terkesan dengan serangan serta kekejaman genosid rejim Zionis Israel.
“Presiden El-Sisi turut menyatakan sokongan terhadap usaha digerakkan Jepun dan Malaysia untuk membangunkan semula Gaza menerusi inisiatif Kerjasama Asia Timur Untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD).
“Gerakan membantu Palestin pasti lebih berkesan sekiranya lebih banyak negara bersolidariti dan bersama-sama dalam usaha ini,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau dan Presiden El-Sisi juga sempat bicarakan soal hubungan dua hala Malaysia-Mesir.
“Kami sekali lagi mengulangi komitmen untuk memperkukuh kerjasama ekonomi, pelaburan, perdagangan, pendidikan dan kebudayaan kedua-dua negara,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.