TELUK INTAN – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes samun rantai leher milik penjual kalung bunga dalam kejadian di Hoover Park, Jalan Sultan Abdullah di sini, 28 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, lelaki berusia 40 tahun itu diberkas pada 5 Februari sekitar pukul 10 malam di tepi jalan dekat Sungai Manik.
Katanya, lelaki yang mempunyai satu rekod lampau bersabit kes curi kabel dan dua rekod kes narkotik itu direman tujuh hari bermula 6 Februari lalu untuk siasatan lanjut.
“Berdasarkan siasatan, suspek turut melakukan jenayah samun membabitkan seorang wanita di sebuah kedai makan di Kampung Banjar pada pukul 5 pagi, hari yang sama.
“Dalam kejadian itu, suspek meragut rantai emas mangsa dianggarkan bernilai RM10,000. Mangsa dalam kejadian ini mengalami kesan calar di leher akibat pergelutan dengan suspek,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, modus operandi suspek ialah menyasarkan wanita warga emas di kawasan perumahan dan premis dengan melakukan kegiatan itu pada sebelah pagi antara pukul 5 hingga 8 pagi.
Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita berusia 65 tahun yang menjual kalung bunga berdepan detik cemas selepas disamun lelaki yang berpura-pura menjadi pelanggan dalam kejadian di hadapan rumahnya di Hoover Park di sini, 28 Januari lalu.
Dalam kejadian pada pukul 7.06 pagi itu, suspek yang memakai topi keledar dan pelitup muka berwarna hitam serta jaket hitam kuning telah meminta mangsa menyediakan kalungan bunga untuk dibeli sebelum mendekati wanita itu dari belakang dan meragut rantai emas yang dipakainya. – KOSMO! ONLINE