BERLIN – Sekurang-kurangnya 30 orang cedera dalam rempuhan kereta di Munich, sehari sebelum bandar raya berkenaan menjadi tuan rumah kepada persidangan yang akan dihadiri oleh pemimpin dunia, lapor akhbar New York Post semalam.
Seorang jurucakap polis tempatan berkata, suspek berusia 24 tahun itu memandu kereta jenama Mini Cooper dan merempuh kira-kira 1,500 penunjuk perasaan sejurus selepas pukul 10.30 pagi (waktu tempatan).
“Suspek berjaya ditahan. Dia merupakan warga Afghanistan, manakala permohonan suakanya ditolak baru-baru ini,” katanya.
Pihak berkuasa masih menyiasat sama ada kejadian itu satu kemalangan atau serangan yang disengajakan.
Sekurang-kurangnya 30 orang termasuk kanak-kanak cedera dalam rempuhan itu dengan sebilangan mangsa kritikal, kata pihak berkuasa.
“Kami mengesyaki rempuhan itu adalah serangan yang dirancang,” kata Gabenor Bavaria, Markus Soder ketika melawat tempat kejadian.
Menteri Dalam Negeri Bavaria, Joachim Herrmann pula berkata, suspek yang tidak didedahkan namanya itu memiliki rekod jenayah seperti mencuri dan dadah.
Suspek datang ke Jerman pada 2016 ketika masih di bawah umur. Permohonan suaka pertamanya ditolak pada tahun berikutnya, demikian menurut akhbar tempatan. – AGENSI