fbpx

K2

Larangan memakai kuku palsu untuk berfesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramai golongan wanita pada masa kini gemar memakai kuku palsu untuk tujuan kecantikan. – Gambar hiasan

Saya ingin bertanyakan satu soalan, apakah hukum seseorang itu memakai kuku palsu? Mohon penjelasan Datuk Mufti.

JAWAPAN: Kuku palsu atau nama lainnya kuku tiruan, kuku buatan, kuku fesyen, kuku akrilik dan pelbagai lagi merupakan sambungan yang diletakkan ke atas kuku sebagai suatu aksesori fesyen.

Sebahagian kuku tiruan ini ada yang direka menyamai rupa bentuk kuku asal sehampir-hampirnya. Ada yang direka sememangnya berbeza bagi menampakkan nilai artistik.

Tidak seperti kebanyakan manicure (penjagaan dan perawatan kecantikan kuku), kuku palsu ini memerlukan penjagaan yang rapi, di mana si pemakai perlu menghadiri salun rawatan kuku sekurang-kurangnya setiap dua minggu sekali dan dikatakan ia boleh bertahan sehingga sebulan.

Terdapat dua cara atau pendekatan yang biasa digunakan untuk membentuk dan meletakkan kuku palsu ini iaitu plat plastik ringan berbentuk kuku yang dilekatkan pada hujung kuku semula jadi dan form (kepingan berbentuk dengan bahagian tepi yang melekit dapat melilit keseluruhan kuku asal dengan sempurna).

Sementara itu, dari sudut kesihatan, pemakaian kuku palsu akrilik dapat membantu menyembunyikan atau membaiki kuku yang patah, rosak, pendek dan juga bahagian kuku tidak diingini.

Ia juga dapat mencegah berlakunya kuku cengkam, kuku pecah mahupun kuku terbelah.

Bagaimanapun, kaedah ini turut mengandungi pelbagai risiko dan keburukan. Dengan cara pemakaian dan pembuangan tidak betul, kuku palsu atau kuku tiruan ini boleh merosakkan kuku seterusnya menghalang pertumbuhan kuku asal.

Bukan itu sahaja, pemakaian kuku palsu untuk satu tempoh masa yang lama boleh menyebabkan berlakunya jangkitan kulat atau bakteria di kawasan antara kuku palsu dan kuku asal.

Oleh yang demikian, kuku palsu digunakan untuk tujuan perhiasan dan fesyen.

Ada juga yang menggunakannya untuk rawatan dan perubatan seperti yang dinyatakan seperti kuku semula jadi tidak dapat tumbuh dengan baik atau tidak kuat.

Masalah ini dapat diselesaikan dengan beberapa teknik rawatan kuku seperti mengepit, mengukir, membalut dan melapisi kuku dengan lapisan akrilik.

Islam mengharamkan sebarang bentuk pengubahan ciptaan asal bahagian tubuh seseorang yang dilakukan dengan alasan untuk kelihatan lebih cantik sama ada dengan cara penyambungan atau pembedahan atau seumpamanya.

Hal ini kerana, terdapat hadis yang melarang perkara tersebut sebagaimana diriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud, katanya: “Allah melaknat wanita-wanita yang membuat tatu, yang meminta dilukiskan tatu, yang mencabut bulu-bulu wajah dan yang merenggangkan gigi untuk kecantikan, yang mengubah ciptaan Allah.” (Riwayat al-Bukhari, 4886)

Hadis ini menunjukkan pengharaman semua perkara tersebut dan lafaz ‘laknat’ yang terdapat di dalamnya merupakan dalil bahawa ia termasuk dalam dosa-dosa besar.

Kesimpulannya, jika pemakaian kuku palsu tersebut atas sebab keperluan yang mendesak seperti untuk melindungi bahagian kulit kuku asal yang tercabut atau untuk rawatan atau seumpamanya, maka ia diharuskan.

Selain itu, sekiranya pemakaian kuku palsu tersebut demi kecantikan tambahan semata-mata tanpa sebarang keperluan yang lain, maka perkara itu tidak dibenarkan oleh syarak.

Ini kerana, ia dikhuatiri termasuk dalam perbuatan mengubah ciptaan Allah SWT. Apatah lagi perbuatan tersebut secara jelas mengandungi unsur penipuan dan pembaziran.

Dari satu sudut yang lain, mereka yang memakainya dengan tujuan rawatan dan perubatan, mestilah meraikan beberapa perimeter atau syarat iaitu pemakaian tidak menghalang air sampai ke kulit sewaktu mengambil wuduk dan mandi wajib.

Begitu juga, hendaklah ia daripada bahan yang suci lagi halal, di samping rupa bentuknya pula tidak terlalu menyerlah atau melampaui rupa bentuk kuku asal, manakala bahan yang digunakan mestilah selamat dan baik untuk digunakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI