MELAKA – Lapan ahli sindiket tipu kerja dalam talian didenda RM6,000 seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menawarkan pekerjaan tidak wujud, minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, See Poh Ying; Wong Cheah Yi; Cheng Wei Yee; Ee Ching Jin; Chow Iing Qnan; Wong Sin Kien; Gao Jiayu dan Yu Quan masing-masing berusia antara 21 dan 34 tahun sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin.
Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh bersama-sama telah terlibat dalam pakatan jahat jenayah dengan menawarkan pekerjaan tidak wujud secara dalam talian dengan menyasarkan mangsa daripada warganegara Barbados.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 10 pagi di sebuah kondominium di Taman Kota Laksamana dalam daerah Melaka Tengah pada 7 Februari 2025.
Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh terlibat sindiket tipu kerja yang menyasarkan mangsa dari sebuah negara di kepulauan Caribbean.
Modus operandi sindiket adalah dengan mengiklankan tawaran pekerjaan palsu di laman sosial Facebook dan mangsa yang berminat akan berkomunikasi dengan ahli sindiket melalui platform Whatsapp atau Telegram. – KOSMO! ONLINE