SACRAMENTO, CALIFORNIA – Sekurang-kurangnya dua orang cedera selepas sebuah pesawat milik tentera Amerika Syarikat (AS) terhempas dan meletup di Teluk San Diego dalam negeri California, lapor akhbar Mirror UK.
Jet E/A-18G Growler itu terhempas sekitar pukul 10.17 pagi (waktu tempatan) kelmarin.
Rakaman di media sosial memaparkan jet pejuang itu terhempas ke dalam air sebelum meletup dan mengeluarkan asap tebal ke ruang udara.
“Dua juruterbang pesawat menggunakan kerusi anjal untuk keluar sebelum nahas berlaku.
“Mereka diselamatkan oleh bot pemancing.
“Mangsa dibawa ke hospital berdekatan dan berada dalam keadaan stabil,” kata jurucakap Pengawal Pantai, Christopher Sappey.
Menurutnya, dua kapal dikerahkan untuk melindungi dan mengutip bangkai pesawat Growler itu di tempat kejadian. – AGENSI