NARATHWIHAT, THAILAND – Jeritan ‘papa’ dan ‘mama’ kedengaran sebaik sahaja trak penjara membawa penyanyi sohor Kelantan, Eda Ezrin bersama suami dan empat rakan mereka tiba di pekarangan Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini hari ini untuk prosiding perbicaraan kes dadah.
Laungan itu dipercayai suara ahli keluarga Eda Azrin atau nama sebenarnya, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, dan lima tertuduh lain.
Trak penjara itu tiba di Mahkamah Wilayah Narathiwat pada pukul 9.13 pagi tadi ketika ahli keluarga enam rakyat Malaysia tersebut menunggu di luar mahkamah.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Eda Ezrin yang sebelum ini didakwa atas tuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda di Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 14 Januari lalu akan memberi keterangan semasa prosiding perbicaraan berhubung dakwaan tersebut hari ini.
Selain Eda Azrin, dua lagi rakannya, Zuhaira Nasrin, 26, dan Erdieka Mohd. Noor, 33, turut memberikan keterangan pada prosiding hari ini.
Suami Eda Ezrin, Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama dua lagi rakan iaitu Mohamad Alif Deraman, 33, dan Nor Aida Mamat, 33, selesai memberi keterangan bagi pertuduhan tersebut.
Pada prosiding perbicaraan semalam, seorang anggota polis dan dua pekerja Hotel Genting di Sungai Golok sudah memberi keterangan semasa perbicaraan.
Terdahulu, tiga anggota polis yang merupakan saksi pendakwaan membuat keterangan semasa prosiding pada Selasa lalu.
Prosiding perbicaraan kes itu berlangsung selama tiga hari hari pada Selasa, semalam dan hari ini.
Kosmo! bulan lalu melaporkan selepas lebih dua bulan direman, Eda Ezrin didakwa atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda di Mahkamah Wilayah Narathiwat pada 14 Januari lalu.
Selain Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi, empat lagi individu didakwa ialah Eridieka, Mohamad Alif, Nur Aida dan Zuhaira turut didakwa atas pertuduhan itu.
Mereka berenam mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.
Keenam-enam tertuduh bagaimanapun mengaku tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki pil kuda.
Bagi pertuduhan itu, hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat memerintahkan kesemua tertuduh mengemukakan bukti sebelum perbicaraan dijalankan.
Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.
Kesemua tertuduh diwakili tiga peguam yang dilantik oleh keluarga mereka. – KOSMO! ONLINE