PETALING JAYA – Bukan sengaja berdiam mahupun ‘terpaling’ privasi, pelakon dan pengacara Imran Aqil mempunyai alasan tersendiri untuk tidak menguar-uarkan berita kehamilan isterinya, pempengaruh dan model Dahlia Rizal, kepada umum.
Menurut Imran, atau nama sebenarnya Muhammad Imran Aqil Mohd. Salehuddin, 26, keputusan itu dibuat bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku selain menjaga privasi kehidupan rumah tangga mereka daripada mata-mata jahat manusia.
“Ramai yang mula meneka dan buat masa ini kami minta diberikan sedikit ruang. Kalau perkara ini diuar-uarkan, risau ada pihak yang memandang dengan ‘mata-mata’ jahat.
“Kalau siapa yang tahu, Alhamdulillah. Tapi dalam media sosial, ada pula yang mula komen dan sebut soal berat badan. Perkara itu buatkan isteri saya rasa kurang selesa,” katanya kepada Kosmo! Online
Pelakon filem Soloz: Game of Life itu turut berharap orang ramai memahami keputusan mereka untuk tidak terlalu terbuka malah lebih selesa menantikan masa sesuai sebelum berkongsi berita kehamilan tersebut kepada umum.
“Sebanyak 70 peratus daripada kehidupan kami ditunjukkan dalam media sosial, tapi lagi 30 peratus, kami harap netizen hormati keputusan kami untuk jadikannya privasi.
“Insya-Allah kalau berita (kehamilan) itu sudah sah, kami pasti akan maklumkan kepada netizen. Kami belum bersedia untuk kongsikan berita ini sebab dalam masa yang sama masih belum pasti lagi.
“Berdasarkan pengalaman keluarga sendiri yang pernah menghadapi perkara tidak diingini, saya memilih untuk berdiam diri terlebih dahulu,” ujarnya ketika ditemui pada sidang media Tayangan Perdana Ramadan Raya Astro 2025, semalam.
Menyentuh mengenai kesihatan isterinya, bekas peserta Hero Remaja itu bersyukur keadaan Dahlia semakin baik selepas dimasukkan ke hospital baru-baru ini akibat tekanan darah rendah.
“Alhamdulillah, Dahlia bertambah sihat sekarang. Cuma saya selalu nasihatkan dia untuk ambil kerja yang tidak terlalu berat.
“Baru-baru ini, dia dimasukkan ke hospital selama dua malam kerana kekurangan gula dalam badan dan tekanan darah rendah sehingga pengsan di sebuah restoran.
“Moga kalian boleh doakan yang terbaik untuk isteri dan keluarga kami,” katanya penuh harapan.
Sebelum ini, ramai mendakwa Dahlia kini hamil anak pertama selepas bentuk tubuhnya kelihatan sedikit berisi ketika menghadiri sebuah majlis bersama Imran.
Imran dan Dahlia mendirikan rumah tangga dalam satu majlis tertutup di Villa Istana Ayer Keroh, Melaka pada September tahun lalu. – KOSMO! ONLINE