PETALING JAYA – Perdana Kuala Lumpur City Centre (Perdana) optimis untuk menaikkan jenamanya ke peringkat yang lebih baik dalam industri pelancongan negara malah di luar negara melalui pengiktirafan Hotel Mesra Penginapan Muslim yang diterimanya sejak tahun lalu.
Pengiktirafan tersebut diperoleh daripada Pusat Pelancongan Islam (ITC) sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) selepas melalui satu proses mengaudit yang dijalankan oleh beberapa panel utama selain wakil daripada ITC dan kementerian berkenaan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga Persatuan Hotel di negara ini.
Restoran di hotel ini juga telah mendapat pengiktirafan sijil halal daripada Jakim
Pengurus Besar Hotel Perdana, Zakaria Ismail berkata, pengiktirafan hotel mesra penginapan muslim itu bermakna ia memiliki pelbagai kemudahan yang dapat memenuhi keperluan pengunjung beragama Islam selain penyediaan asas seperti sejadah dan arah kiblat.
Antara ciri-ciri hotel mesra penginapan muslim lebih memfokuskan kepada kemudahan yang disediakan di bilik hotel seperti penyediaan telekung dan sejadah, waktu solat, bahan bacaan seperti Al Quran serta ruangan untuk menunaikan solat tidak berhadapan dengan tandas atau pintu masuk.
Selain itu, pihaknya juga mengeluarkan panduan daripada segi jadual penggunaan kolam renang yang akan memisahkan waktu kaum lelaki menggunakan kemudahan tersebut berbeza dengan kaum wanita.
Bagaimanapun ia terbuka kepada pengunjung yang membawa keluarga menggunakan kemudahan kolam renang.
Zakaria menjelaskan, melalui pengiktirafan tersebut, kadar penginapan tahunan Hotel Perdana telah meningkat kepada 68 peratus tahun lalu berbanding sekitar 55 peratus tahun sebelumnya.
“Ini merupakan satu nilai tambah buat hotel dan kami adalah satu-satunya hotel yang terletak di lokasi strategik di kawasan utama dalam pusat bandar ini memiliki ciri-ciri penginapan mesra muslim.
“Melalui pengiktirafan ini, jenama hotel ini semakin popular di luar negara dan berjaya menarik minat pelancong dari Uzbekistan, Kazakhstan, dan Kyrgyzstan, Korea dan juga pelancong yang sudah menjadi pelanggan setia hotel ini seperti dari Timur Tengah, Oman dan Qatar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Kosmo! ketika ditemui selepas majlis pelancaran bufet Ramadan bertemakan Cita Rasa dari Dapur Binjai baru-baru ini.
Hotel ini mula dibuka pada tahun 2000 yang dimiliki sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan diuruskan oleh Attana Hotels & Resorts Sdn Bhd.
Mengulas mengenai proses pengubahsuaian hotel yang telah dimulakan dalam fasa pandemik lalu, Zakaria menerangkan ia kini sudah mencapai ke peringkat 60 hingga 70 peratus dan ia dijangka siap sepenuhnya mengikut jadual ditetapkan.
Buat masa ini, pengubahsuaian bagi memberi suntikan terbaharu yang lebih segar dalam rekaan dalaman bilik hotel sedang dilakukan.
“Tempahan di hotel ini boleh mencecah sehingga 100 peratus bila tiba dua acara penting di Kuala Lumpur iaitu pada malam sambutan hari kemerdekaan dan Tahun Baru bagi membolehkan pengunjung menyaksikan pertunjukan bunga api,” jelasnya.
Sementara itu, mengenai juadah yang ditawarkan pada bulan Ramadan tahun ini, Zakaria memaklumkan, Hotel Perdana menyajikan menu lengkap daripada hidangan tempatan, timur tengah dan antarabangsa yang autentik yang menjanjikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
“Terdapat stesen memasak yang disediakan secara langsung oleh cef profesional yang akan memasak hidangan kegemaran tetamu serta yang utama kami tawarkan nasi Kabsa dengan rasa rempah yang sempurna dengan daging lembut, herba harum, dan rasa autentik dari Timur Tengah.
“Terdapat juga gerai hidangan langsung yang menawarkan pelbagai juadah istimewa seperti Gerai Belanga Panas Istimewa yang mensajikan Sup Kawah dengan penuh rempah dan pelbagai pilihan ayam, daging, kambing atau paru dan dihidangkan bersama roti benggali,” ujarnya.
Hotel juga menyediakan Gerai Dunia Pasta dengan pelbagai jenis pilihan masakan sos pasta yang menarik seperti bolognaise, alfredo dan aglio olio, hidangan pencuci mulut kami turut merangkumi kegemaran orang ramai seperti 10 jenis kuih Melayu dan ais kacang.
Pembelian awal baucer bufet Ramadan berharga RM128.00 seorang bermula sekarang sehingga 20 Februari 2025 manakala, harga biasa ialah RM168.00 seorang. KOSMO! ONLINE