fbpx

Hotel jadi transit 20 PATI di Kota Bharu diserbu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seramai 20 PATI dan dua tekong darat ditahan dalam serbuan di sebuah hotel di Jalan Tok Guru, Kota Bharu semalam. FOTO IHSAN PGA

KOTA BHARU – Taktik dua tekong darat menyembunyikan seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah hotel di Jalan Tok Guru di sini yang dijadikan lokasi transit sebelum mereka dibawa ke lokasi lain terbongkar selepas premis tersebut diserbu anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) semalam.

Serbuan dijalankan kira-kira pukul 4 pagi selepas PGA Briged Tenggara menerima maklumat mengenai penyeludupan PATI di hotel berkenaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, pemeriksaan di beberapa buah bilik menjumpai seramai 15 PATI warga Indonesia termasuk tujuh wanita, dua lelaki bersama seorang wanita warga Myanmar dan seorang lelaki warga India.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut turut menjumpai seorang lagi lelaki warga India berada di kawasan luar hotel tersebut.

“Kesemua PATI itu gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri atau dokumen perjalanan yang sah untuk masuk ke negara ini.

“Siasatan lanjut mendapati, mereka dipercayai diseludup masuk ke negara ini melalui laluan yang tidak diwartakan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Nik Ros Azhan memberitahu, dua lelaki berusia 54 dan 36 tahun yang dipercayai menjadi tekong untuk menyeludup dan menguruskan semua suspek masuk ke negara ini turut ditahan.

Menurutnya, dua buah kenderaan dan dua unit telefon bimbit dengan jumlah keseluruhan bernilai RM98,000 yang digunakan untuk kegiatan menyeludup PATI turut dirampas.

“Dua tekong darat bersama 20 PATI itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Beliau berkata, kesemua PATI ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala dua tekong itu di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI