LIVERPOOL – Empat layangan kad merah mewarnai penghujung aksi derbi Merseyside ketika Everton dan Liverpool terikat 2-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Goodison Park awal pagi semalam.
Tiga daripada kad itu dilayangkan kepada The Reds apabila Curtis Jones, pembantu pengurus, Sipke Hulshoff termasuk pengurus mereka, Arne Slot, manakala ‘wakil’ Everton yang menerimanya adalah pemain tengah, Abdoulaye Doucoure.
Kesemua kad tersebut dilayangkan selepas perlawanan berakhir apabila Jones tidak berpuas hati dengan tindakan provokasi Doucoure terhadap penyokong Liverpool, manakala Slot dan Hulshoff menerima hukuman itu apabila mempertikai keputusan pengadil, Michael Oliver.
Pada perlawanan itu, Everton terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Beto sebelum Liverpool meledak dua gol menerusi Alexis MacAllister dan Mohamed Salah, namun hasrat mereka untuk meraih kemenangan tidak kesampaian apabila James Tarkowski meledak gol penyamaan pada minit ke-98.
Ketua pasukan Liverpool, Virgil Van Dijk percaya Oliver perlu mengambil pendekatan yang berbeza memandang ia merupakan aksi derbi setempat dan menganggap pengadil itu gagal mengawal perlawanan.
“Secara jelas anda boleh melihat bagaimana mereka meraikan jaringan tersebut, memang itu hak mereka. Saya fikir selepas perlawanan berakhir, Doucoure cuba untuk memprovokasi penyokong kami dan Curti merasakan itu adalah perkara yang tidak sepatutnya.
“Pengadil juga tidak berjaya mengawal perlawanan dengan baik pada pandangan saya. Kedua-dua pasukan perlu berdepan situasi ini dan ia telah berlaku. Kami perlu terus memandang ke hadapan,” kata Van Dijk.
Keputusan seri itu menyaksikan hasrat Liverpool untuk melebarkan jurang dengan sembilan mata di puncak liga tidak kesampaian, namun masih memiliki kelebihan tujuh mata berbanding pencabar terdekat, Arsenal. – AGENSI