SHAH ALAM – Enam termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan mengurung, mencederakan dan memeras ugut lapan warga Myanmar.
Lima tertuduh iaitu Kelvin Steven Rooben, 24 dan adiknya, Shajustine, 21 selain A. Helen Raj, 26, M. Kumaraventhan serta M. Arvind masing-masing berusia 21 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan bersama di hadapan Majistret Mohamed Redza Azhar Rezali.
Seorang lagi tertuduh yang merupakan ejen pekerjaan warga Myanmar, Asgari, 26, mengaku bersalah bagi semua pertuduhan itu.
Mengikut lapan pertuduhan, keenam-enam mereka telah mengurung dengan salah lapan lelaki warga Myanmar seterusnya melakukan kesalahan mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Kesemua mereka juga dengan sengaja telah mendatangkan kecederaan terhadap seorang warga Myanmar dan melakukan kesalahan dibawah Seksyen 323 KK yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Kedua-dua pertuduhan itu membawa hukuman penjara selama setahun atau denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, sekiranya disabitkan kesalahan.
Kelvin, Shajustine, Helen Raj, Kumaraventhan serta Asgari juga didakwa atas enam pertuduhan melakukan pemerasan dengan mengugut untuk mencederakan enam warga Myanmar sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai keseluruhan RM34,000
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu mengikut Seksyen 384 KK dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di rumah terbiar Jalan Batu 8, Bukit Kemuning antara 30 Januari dan 2 Februari lalu.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni mencadangkan jaminan keseluruhan RM25, 000 setiap tertuduh warga tempatan itu bersama dua penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri pada minggu pertama setiap awal bulan dan tidak mengganggu saksi.
Bagaimanapun, Peguam Tham Weng Kin memohon jaminan yang minima susulan anak guam iaitu Helen dan Arvind menanggung ibu bapa dan adik beradik mereka serta tiada risiko melarikan diri disebabkan tinggal bersama keluarga dan mempunyai alamat tetap.
Peguam Mark Jeyakumar dalam mitigasinya pula memaklumkan Kelvin, Shajustine dan Kumaraventhan bukan berasal dari keluarga senang dan jaminan tinggi akan memprejudiskan hak mereka.
“Selain itu, Kelvin dan Shajustine telah membuat permohonan memasuki Polis Diraja Malaysia (sebagai kerjaya masa depan mereka),” katanya.
Pada prosiding itu, Asgari tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan RM14, 000 bagi empat tertuduh warga tempatan dan RM10, 000 kepada Arvind serta syarat tambahan pendakwaan.
Sebutan semula kes termasuk tarikh jatuh hukum untuk Asgari ditetapkan pada 14 Mei depan. – KOSMO! ONLINE