PETALING JAYA – Kerajaan perlu melantik individu mempunyai pengalaman dalam diplomasi dan mempunyai kemahiran komunikasi yang cemerlang sebagai Duta Besar Malaysia yang baharu ke Amerika Syarikat (AS).
Bekas diplomat di Kedutaan Besar Malaysia di Washington, Neow Choo Seong berkata, Malaysia perlu diwakili oleh seorang ketua perwakilan yang membawa imej baik negara dan mampu mempertahankan kepentingan serta pendirian Malaysia di AS.
Ujar beliau, AS antara rakan strategik utama Malaysia khususnya dalam bidang pelaburan dan perdagangan, pertahanan, keselamatan, pengajian tinggi, teknologi dan inovasi serta pelancongan.
“Pelantikan Duta Besar Malaysia ke AS perlu dilakukan dengan teliti dan tidak terburu-buru bagi memastikan individu yang dipilih mampu memperkukuh hubungan diplomatik dan perdagangan antara Malaysia dan AS.
“AS merupakan salah sebuah kuasa besar dunia dan Washington merupakan pusat pentadbiran dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Choo Seong yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional berkata, antara kriteria lain perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah individu yang memiliki pemahaman mendalam tentang hubungan Malaysia dan AS.
Menurut beliau, Duta Besar Malaysia baharu ke AS perlu juga mempunyai kepribadian dan rekod perkhidmatan yang bersih serta berkeupayaan mewakili negara dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti.
Tambah beliau, individu dipilih perlu juga mempunyai kebolehan menarik pelaburan dan peluang perdagangan serta mampu menangani situasi kecemasan atau cabaran diplomatik dengan tenang dan profesional.
“Secara peribadi, saya merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz atas khidmat bakti dan sumbangan beliau sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Duta Besar Malaysia ke AS,” katanya. – KOSMO! ONLINE