PETALING JAYA – Bekas pemain skuad kebangsaan yang juga suami kepada pelakon Ayu Raudhah iaitu Zaquan Adha menzahirkan rasa rindu terhadap anak bongsunya, Allahyarham Muhammad Aisy Al Raees yang meninggal dunia pada 11 Februari lalu.
Menurut pemilik nama penuh Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak itu, kehidupannya kini sangat sunyi selepas pemergian anak bongsunya.
“Ya Allah, dua hari yang sangat sunyi tanpa anak syurga daddy.
“Berbahagialah adik Raees di sana,” katanya dalam Instagram Story.
Tambah Zaquan, dia juga berharap Raees yang disifatkan sebagai anak syurga itu muncul dalam mimpinya.
“Semoga anak syurga daddy hadir dalam mimpi daddy.
“Daddy cuba kuat untuk hadapi semua ini. Beri aku kekuatan, ya Allah,” jelasnya.
Terdahulu, Zaquan berkongsi berita duka mengenai pemergian anak ketujuhnya itu menerusi Instagram pada Selasa lalu.
Muhammad Aisy Al Rees selamat dilahirkan pada 2 Ogos tahun lalu.
Selain Raees, Ayu dan Zaquan yang mendirikan rumah tangga pada 21 Januari 2011 turut mempunyai enam cahaya mata lain iaitu Muhammad Aisy Qaiser, 12, Muhammad Aisy Aryann, 11, Laura Zuleykha, 8, Muhammad Aisy Khaliq, 6, Muhammad Aisy Al Jibreel, 3, dan anak keenam yang kini berusia setahun. – KOSMO! ONLINE.