GLASGOW – Pengendali Celtic, Brendan Rodgers masih berbangga dengan semangat juang tinggi pasukannya selepas tewas tipis 1-2 kepada Bayern Munich pada aksi playoff pertama Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Celtic Park awal pagi semalam.
Menurut Rodgers, peluang untuk mereka mara ke pusingan 16 terbaik buat kali pertama dalam tempoh 12 tahun masih terbuka jika menggandakan usaha pada perlawanan kedua di tempat lawan minggu depan.
“Saya rasa Bayern tidak sebagus yang disangka kerana ketika kedudukan 1-2, mereka beraksi secara bertahan dan saya rasa ini adalah perkembangan yang positif buat pasukan.
“Secara peribadi, saya rasa pengalaman beraksi di peringkat tertinggi UCL masih baharu buat sebahagian besar pemain tetapi mereka telah membuatkan saya bangga.
“Mungkin keputusan ini memihak kepada Bayern tetapi anda boleh lihat 25 minit terakhir kami mendominasi perlawanan dan saya harap pasukan dapat mencipta kejutan pada aksi kedua minggu depan,” katanya.
Sementara itu, penjaga gol Celtic, Kasper Schmeichel percaya rakan-rakan sepasukan terlalu menghormati pasukan lawan pada awal saingan sehingga membolehkan mereka meraih dua gol penting.
“Kami akui Bayern antara kelab terbaik di dunia dan kami tidak boleh leka sepanjang perlawanan.
“Sudah tentu sukar untuk kami melakar kejutan di Munich nanti tetapi saya percaya tiada yang mustahil dalam bola sepak,” katanya. – AGENSI