KUALA TERENGGANU – Keterujaan dua individu menekan pautan untuk memenangi cabutan bertuah kononnnya anjuran sebuah bank terbantut apabila mereka kerugian keseluruhan RM109,750 akibat diperdaya sindiket penipuan pada Selasa lalu.
Pesara wanita berusia 60 tahun dan guru lelaki berumur 50 tahun masing-masing membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu di sini pada kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa wanita kerugian RM66,000 manakala lelaki pula sebanyak RM43,750.
“Kedua-dua mangsa mengaku menekan pautan kononnya iklan cabutan bertuah sebuah bank di laman Facebook pada 11 Februari lalu.
“Sebaik pautan itu ditekan, mereka perlu memberikan maklumat perbankan masing-masing kononnya sebagai syarat bagi mengetahui hadiah cabutan bertuah ditawarkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Azli berkata, kedua-dua mangsa kemudiannya menerima satu mesej khidmat sistem pesanan ringkas (SMS) memaklumkan mereka telah didaftarkan dengan aplikasi perbankan tersebut di telefon bimbit.
Beliau berkata, mereka yang tidak memuat naik aplikasi tersebut tambah terkejut apabila mendapati sejumlah besar wang di dalam akaun bank berkenaan telah lesap.
“Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Kita turut menerima lima kes sama menggunakan modus operandi serupa,” katanya. – KOSMO! ONLINE