KUANTAN – Polis telah mengenalpasti suspek yang terlibat dalam kejadian bunuh melibatkan seorang wanita yang ditemukan mati di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini semalam.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pada masa ini polis sedang giat mengesan suspek yang merupakan lelaki berusia 37 tahun.
“Suspek sudah dikenal pasti iaitu lelaki berumur 37 tahun dan suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau, kita masih mengesan suspek.
“Suspek tiada hubungan dengan mangsa (mangsa tidak mengenali suspek) dan cuma mangsa ada membuat pertemuan dengan suspek yang ada memesan barangan jualan mangsa,”katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang antara Datuk Noor Hisam Nordin yang menyerahkan tugasnya kepada Datuk Mohd Yusri Othman di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2025/02/WhatsApp-Image-2025-02-14-at-12.53.39_3757b573.jpg)
Hari ini Kosmo! melaporkan seorang wanita yang merupakan peniaga makanan maut dipercayai dibunuh sebelum mayatnya ditemukan di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini semalam.
Difahamkan mangsa, Norshamira Zainal,37, yang menjalankan urus niaga hantaran (COD) makanan kepada suspek telah dipukul dengan objek keras sebelum mayat mangsa diletakkan di tepi Sungai Kuantan.
Mayat mangsa kemudiannya ditemukan sekumpulan lelaki termasuk suami dan bapa mentua mangsa yang datang mencari sebelum laporan polis dibuat.
Menurut Yahaya kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat mangsa yang mempunyai kecederaan dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat hari ini.
Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati beberapa barangan kemas yang dipakai suspek hilang. – KOSMO! ONLINE