fbpx

Bicara kes Avitan Shalom 14 hari di Penjara Kajang depan hakim baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Avitan ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada prosiding lalu.

KAJANG – Perbicaraan kes lelaki warga Israel Avitan Shalom yang didakwa atas dua pertuduhan berkaitan senjata dan peluru akan berlangsung selama 14 hari bermula Mac hingga Jun ini.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 19 hingga 21 Mac, 13 hingga 16 Mei, 3 hingga 5 Jun serta 23 hingga 26 Jun 2025 yang mana prosiding itu akan didengar di depan hakim baharu dan berlangsung di Mahkamah Kompleks Penjara Kajang di sini.

Hakim Mahkamah Sesyen Mohd. Zaki Mohd. Salleh menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dengan tarikh-tarikh tersebut yang telah dijadualkan semula.

Semasa prosiding hari ini, peguam Jeffrey Ooi yang mewakili Avitan memaklumkan kepada mahkamah perbicaraan kes itu akan dijalankan dalam bahasa Inggeris.

“Pihak kami telah berbincang dengan tertuduh dan dia memaklumkan sekiranya ada jurubahasa yang bertauliah dan boleh berkomunikasi dengannya, dia bersedia untuk perbicaraan dijalankan dalam Bahasa Inggeris,” kata Jeffrey.

Pada masa sama, Jeffrey turut memaklumkan peguam utama Datuk Naran Singh yang mengendalikan kes telah menarik diri.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam kemudian mempersoalkan tindakan pembelaan yang sebelum ini telah beberapa kali memohon penangguhan perbicaraan kerana ketiadaan jurubahasa Ibrani.

Bagaimanapun hari ini memaklumkan bersedia untuk dibicara dalam Bahasa Inggeris.

“Pihak pembelaan sebelum ini memohon untuk kes ditangguhkan bagi menyelesaikan isu jurubahasa dan pendengaran bagi penangguhan telah ditetapkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Februari ini. Pihak pendakwaan ingin tahu sekiranya permohonan ini masih ingin diteruskan pembelaan,” katanya.

Sementara itu, Jeffrey ketika ditemui selepas prosiding enggan mengulas mengenai penarikan diri peguam Naran dalam kes tersebut.

“Saya tiada tarikh tepat beliau tarik diri (Naran Singh) tapi sebelum Tahun Baru Cina,” kata Jeffrey.

Pada prosiding terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen Norina Zainol Abidin yang mendengar kes tersebut dengan tegas ‘menegur’ Avitan yang memohon khidmat jurubahasa di saat akhir perbicaraan bermula.

Semasa prosiding ketika itu, Hakim Norina bertanya sendiri kepada Avitan apakah jenis bahasa yang difahami dan tertuduh memohon jurubahasa Ibrani.

Berikutan itu, Hakim Norina telah melapangkan perbicaraan kes tersebut kerana terdapat isu jurubahasa Ibrani yang masih menjadi pertikaian.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan selama 12 hari bagi perbicaraan kes itu dengan tarikh-tarikh perbicaraan ialah 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23 yang mana kesemua tarikh itu pada bulan Januari 2025.

Seramai 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.

Avitan, 39, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI