NEW DELHI – Sebuah video tular di media sosial India menunjukkan seorang lelaki nyaris menemui ajal apabila pemberat di gimnasium menimpa lehernya ketika dia cuba mengangkat barbell seberat 165 kilogram (kg), lapor akhbar The Sun UK.
Klip video kejadian menunjukkan lelaki berkenaan berbaring di atas bangku untuk melakukan angkatan ‘bench press’ sambil dibantu seorang wanita, dipercayai isterinya.
Selepas gagal mengangkat barbell itu disebabkan beratnya, wanita tersebut membantu suaminya meletakkan kembali beban itu pada tempat asalnya.
Ia bagaimanapun terjatuh ke atas leher lelaki tersebut, menyebabkan dia tidak dapat bergerak, manakala isterinya berhempas-pulas cuba mengalihkan barbell seberat 165 kg itu.
Selepas beberapa saat cuba mengalihkannya, lelaki itu terjatuh daripada bangku sebelum barbell tersebut dapat dialihkan.
“Saya tidak faham apa yang saya lakukan. Saya pitam seketika. Jika lebih lama lagi, saya mungkin mati,” kata keterangan dalam klip video berkenaan yang dimuat naik di laman Instagram.
Tidak dinyatakan lokasi dan tarikh kejadian, namun ia dipercayai berlaku di India berdasarkan video pertama yang dikongsikan. – AGENSI