PETALING JAYA – Tindakan pantas pelawak dan penyampai radio, Ajak Shiro berjaya menyelamatkan seorang lelaki yang cuba membunuh diri di Menara Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Jalan Sultan Salahuddin, pagi tadi.
Ajak atau nama sebenarnya Mohd. Hanaffi Razak, 39, berkata, dia dihubungi pihak bomba yang memaklumkan lelaki terbabit meminta untuk bercakap dengannya sebelum melakukan tindakan nekad tersebut.
“Dia bukan kawan atau saudara, saya tak kenal individu tersebut, tapi pihak bomba menghubungi saya kerana lelaki itu mahu bercakap dengan saya. Masa itu saya tengah ‘on air’.
“Saya segera ke tempat kejadian meinggalkan konti radio malah terlepas mesyuarat penting sampai semua orang cari saya.
“Sepanjang perjalanan ke lokasi, saya bercakap dengannya menerusi telefon hingga ke tempat kejadian. Dia berada di hujung bangunan tingkat 11 sambil memegang senjata tajam, saya cakap elok-elok kalau mahu jumpa kena buang senjata itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Setelah mendengar luahan, Ajak berkata lelaki berusia 49 tahun itu dipercayai berdepan masalah hidup, mungkin kerana tekanan kewangan.
“Saya tak pasti sebab dia pilih saya, mungkin kerana dia tahu saya ada perniagaan dan fikir saya boleh membantu sebab sebelum ini saya ramai bantu orang.
“Abang itu orang baik, saya tidak kecam tindakannya dan saya faham. Dia tertekan dan mengadu perniagaannya tak menjadi, dia perlukan bantuan,” ujarnya.
Lebih mengejutkan, anggota kumpulan Shiro itu mendedahkan kejadian sebegini bukan kali pertama dialaminya.
“Ini bukan kali pertama, dahulu pernah juga ada, tapi seorang gadis remaja yang telefon ugut nak bunuh diri.
“Saya tak layan dan marah dia, mujur selepas itu tiada apa pun dengar berita gadis bunuh diri,” dedahnya.
Meskipun bersedia membantu, Ajak menegaskan, kejadian sebegini tidak wajar dijadikan cara untuk menarik perhatian atau menyelesaikan masalah.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat membantu, tetapi saya tak mahu perkara ini menjadi kebiasaan. Jangan anggap tindakan sebegini boleh menarik perhatian atau menyelesaikan masalah.
“Saya percaya dia stres dan memerlukan seseorang untuk mendengar. Syukur semua selesai dengan baik,” tuturnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan seorang lelaki membuat cubaan bunuh diri di Menara LPP, dipercayai akibat tekanan hidup.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Kuala Lumpur, panggilan kecemasan diterima pada pukul 10.23 pagi melalui sistem MERS999, yang dibuat oleh lelaki itu sendiri. – KOSMO! ONLINE.