TANJUNG MALIM – Ibu bapa kepada 500 pelajar sekitar daerah ini menarik nafas lega dengan pemberian bantuan kelengkapan persekolahan pada Program Sentuhan Kasih Madani Jom Ke Sekolah 2025 di Dewan Muallim Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang di sini hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, ia menjadi bantuan tambahan kepada rakyat selain Bantuan Awal Persekolahan, kenaikan gaji minimum, pelarasan gaji penjawat awam, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
“Bantuan ini merupakan inisiatif kerajaan bagi meringankan tanggungan ibu bapa terutamanya golongan B40 dalam membuat persiapan kembali ke sekolah untuk anak-anak pada tahun ini.
“Bantuan kelengkapan persekolahan bernilai sebanyak RM175 seorang kepada murid sekolah rendah dan menengah ini untuk meningkatkan kualiti dan pencapaian pendidikan terutama mereka yang kurang bernasib baik,” katanya di sini hari ini.
Pada program itu, seramai 500 pelajar di sekitar Tanjung Malim menerima bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM87,500.
Dalam pada itu, Khairul Azmi Othman, 30, bersyukur apabila menerima bantuan persekolahan berbentuk baju sekolah, kasut, tudung, alat tulis dan beg bagi tiga orang anaknya yang masih bersekolah rendah di sini pada masa amat memerlukannya.
Dia berkata, pendapatannya tidak sebanyak mana kerana bekerja sebagai seorang guru maahad tahfiz di Tanjung Malim selain isterinya merupakan seorang suri rumah sepenuh masa.
“Sebenarnya, saya hanya mengisi borang secara dalam talian yang di WhatsApp oleh ketua kampung berkenaan pemberian bantuan ini namun tidak menyangka ketiga-tiga anak terpilih.
“Saya difahamkan, bantuan ini merangkumi baju sekolah, kasut, tudung, alat tulis dan beg yang nilainya RM175. Anak saya tiga orang iaitu seorang lelaki darjah empat dan dua kembar perempuan darjah dua. Ini benar-benar dapat membantu terutamanya melibatkan soal kewangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE