NARATHIWAT, THAILAND – Penyanyi sohor Kelantan, Eda Ezrin memaklumkan kepada Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini hari ini bahawa empat individu masuk ke dalam biliknya di Hotel Genting, Sungai Golok dekat sini pada 1 November lalu sebelum bilik tersebut diserbu polis.
Eda Ezrin atau nama sebenarnya, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, memaklumkan perkara itu semasa memberi keterangan dengan bantuan jurubahasa selama sejam kepada pihak mahkamah.
Menurutnya, empat individu tersebut dikenali sebagai Nabila, Mek Jue, Mek Da dan Sirik telah masuk ke dalam biliknya.
“Pada awalnya, Nabila dan Mek Ju masuk ke bilik saya kira-kira pukul 3 pagi. Selepas berbual, Mek Ju masuk ke dalam bilik air selama lebih kurang 15 minit.
“Saya nampak Mek Ju bawa beg galas berwarna biru semasa masuk ke dalam bilik air. Selepas itu, Nabila dan Mek Ju keluar dan meninggalkan bilik saya,” katanya ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh peguam.
Eda Ezrin dalam keterangannya turut berkata, dua lagi individu yang dikenali sebagai Sirik dan Mek Da masuk ke dalam biliknya tidak lama selepas itu.
Menurutnya, dia melihat Mek Da masuk ke dalam bilik air manakala Sirik berbual-bual dengannya.
“Selepas Mek Da keluar dari bilik air, dia dan Sirik terus meninggal bilik saya. Kira-kira 10 minit kemudian, polis terus menyerbu bilik saya,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, Eda Azrin dan dua lagi rakannya iaitu Zuhaira Nasrin, 26, dan Erdieka Mohd. Noor, 33, akan memberikan keterangan pada prosiding perbicaraan hari ini.
Suami kepada Eda Ezrin iaitu Mohd. Affendi Ahmad, 35, bersama dua lagi rakan, Mohamad Alif Deraman, 33 dan Nor Aida Mamat, 33, selesai memberikan keterangan bagi pertuduhan tersebut.
Pada prosiding perbicaraan semalam, seorang anggota polis dan dua pekerja Hotel Genting di Sungai Golok dekat sini sudah memberi keterangan semasa perbicaraan.
Terdahulu, tiga anggota polis yang merupakan saksi pendakwaan telah membuat keterangan semasa prosiding pada kelmarin.
Akhbar Kosmo! bulan lalu melaporkan, selepas lebih dua bulan direman, Eda Ezrin didakwa atas dua pertuduhan mengambil dadah dan memiliki 6,059 biji pil kuda di Mahkamah Wilayah Narathiwat di sini pada 14 Januari lalu.
Selain Eda Ezrin dan suaminya, Mohd. Affendi bersama Mohamad Alif, Erdieka, Nor Aida dan Zuhaira turut didakwa atas pertuduhan itu.
Mereka berenam mengaku bersalah atas pertuduhan mengambil dadah.
Keenam-enam tertuduh bagaimanapun mengaku tidak mengaku bersalah atas tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda di Sungai Golok.
Bagi pertuduhan itu, hakim Mahkamah Wilayah Narathiwat memerintahkan kesemua tertuduh mengemukakan bukti sebelum perbicaraan dijalankan.
Sementara itu, Eridieka dan Zuhaira mengaku bersalah atas dua pertuduhan memasuki Thailand secara haram dan tiada dokumen perjalanan atau pasport sah untuk berada di negara ini.
Kesemua tertuduh diwakili tiga peguam yang dilantik oleh keluarga mereka. – KOSMO! ONLINE