MACHANG – Yayasan Petronas mengeluarkan dana sebanyak RM420,000 untuk meraikan seramai 2,100 keluarga di seluruh negara sempena Tahun Baharu Cina pada tahun ini.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli berkata, sumbangan menerusi Program Memacu Kehidupan Tahun Baharu Cina itu menandakan perpaduan dan harapan kepada semua keluarga yang dirai.
“Bekalan makanan asas yang disumbangkan antaranya beras, minyak masak, gula, garam, tepung, kari ayam dalam tin, teh, minuman berasaskan coklat dankekacang.
“Setiap keluarga turut menerima sumbangan makanan perayaan seperti bihun, cendawan kering, sos taucu dan minyak bijan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Memacu Kehidupan: Tahun Baharu Cina oleh Yayasan Petronas di Dewan Majlis Daerah Machang di sini hari ini.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan turut hadir menyampaikan sumbangan tersebut kepada 100 keluarga yang terpilih menerusi program itu.
Mengulas lanjut, Mohammad Ahmad Shazly berkata, selain itu, penerima turut menerima hamper perayaan mengandungi biskut yang disediakan oleh peserta program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (Mekar), anjuran Yayasan Petronas. – KOSMO! ONLINE