fbpx

Warga UiTM adakan solat hajat khas doa kesejahteraan Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Warga UiTM mengadakan solat hajat khas itu di Masjid UiTM Shah Alam.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengadakan solat hajat khas bagi mendoakan kesejahteraan dan kesembuhan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang juga Canselor universiti itu.

Jurucakap UiTM berkata, majlis itu disertai pengurusan tertinggi, staf akademik dan pentadbiran, mahasiswa serta warga kampus yang menzahirkan sokongan kepada baginda.

“Solat hajat itu berlangsung dalam tiga sesi utama bermula Rabu (semalam) diikuti majlis bacaan Yasin selepas solat Maghrib malam ini dan selepas solat Jumaat esok di Masjid UiTM Shah Alam di sini.

“Seluruh warga UiTM mendoakan baginda Sultan Ibrahim dikurniakan kesihatan yang baik, dipermudahkan urusan dan sentiasa dalam lindungan Allah,” katanya hari ini.

Tambahnya, UiTM turut mendoakan baginda terus diberi kekuatan untuk memayungi negara dan rakyat Malaysia dengan keadilan serta kebijaksanaan.

Jumaat minggu lalu, Istana Negara dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar memaklumkan Seri Paduka Baginda berangkat ke luar negara bagi menjalani rawatan.

Turut mengiringi baginda, Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Masjid di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin turut mengadakan solat hajat dan doa selamat bagi mendoakan kesejahteraan Sultan Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI