JASIN – Wanita yang maut bersama-sama empat anaknya dalam kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai dekat sini awal pagi tadi disahkan sedang hamil lima bulan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa, Laila Fathinah Mustapa, 37 dan anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13; Izz Daffa Hafizuddin,7; Nur Dalilah Khadijah,6 dan Izz Danish Fathi empat tahun ditemui dalam keadaan rentung di dalam kediaman mereka.
Suaminya, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, bagaimanapun terselamat selepas penduduk kampung membantu membawa keluar melalui tingkap rumah.
Menurut ibu mangsa, Ruziha Osman, 60, anak sulungnya itu sedang hamil anak ketujuh dan tragedi menyayat hati berkenaan berlaku selepas beberapa jam dia menghantar Laila dan anak-anaknya pulang ke kediaman berkenaan dari Puchong, Selangor.
“Memang arwah sedang hamil, malam tadi saya baru sahaja hantar mereka, tidak sangka kejadian ini berlaku beberapa jam selepas itu.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap malah ceria dan bergurau seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Jasin.
Jelasnya, Laila mempunyai enam cahaya mata, namun anak sulung dan kedua tinggal bersamanya di Puchong.
“Mereka sekeluarga terlibat dalam kemalangan pada dua minggu lalu di Alor Gajah, suaminya patah kaki manakala anak kedua mereka mengalami kecederaan di kepala kerana itu saya jaga anaknya untuk memudahkan urusan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
“Laila sebelum itu datang ke rumah saya pada Selasa lalu dengan menaiki bas bersama-sama empat anaknya untuk urusan rawatan di PPUM sebelum saya hantarnya pulang malam tadi,” katanya. – KOSMO! ONLINE