BANGKOK – Sebuah video tular di media sosial memaparkan tindakan pantas dua lelaki menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia dua tahun yang mengayuh basikal di tengah jalan raya, lapor laman berita Thaiger kelmarin.
Kejadian berlaku pada 10 Februari lalu di Jalan Sirisothorn, dekat bandar Chachoengsao, dalam wilayah tersebut.
Dalam video rakaman papan pemuka, sebilangan pemandu memberhentikan kenderaan mereka bagi mengelak daripada melanggar kanak-kanak yang sedang duduk di atas basikal kecil di tengah jalan itu.
Dua lelaki kemudian meluru keluar dari kereta sebelum mengangkat basikal dan mendukung kanak-kanak berkenaan ke tepi jalan.
Menurut laporan, ayah kanak-kanak itu, Adithep, sedang menonton televisyen di dalam bilik dan tidak menyedari anaknya keluar dari rumah.
Kanak-kanak itu dikatakan sedang bermain dengan dua ekor anak kucing dan meletakkan kedua-dua haiwan tersebut di atas bakul basikalnya.
Salah seekor daripada kucing itu melompat keluar dari bakul, menyebabkan kanak-kanak itu mengayuh basikalnya bagi mengejar haiwan tersebut.
Basikal kecil itu kemudian bergerak laju ke arah jalan raya ketika melalui cerun.
Adithep berkata, dia bersyukur kerana tiada sebarang kemalangan menimpa anaknya disebabkan jalan itu sering dilalui oleh kenderaan yang memecut laju. – AGENSI