ATLET karate negara, C. Shahmalarani menetapkan dua misi tahun ini, iaitu mempertahankan pingat emas Sukan SEA dan memburu kedudukan lima terbaik dunia dalam kategori kumite bawah 50 kilogram (kg).
Selepas menutup tahun lalu di ranking ke-9 dunia, Shahmalarani kini jatuh dua anak tangga apabila terkandas di suku akhir saingan Premier League Paris gara-gara tewas 1-6 kepada atlet Slovakia, Natalia Vargova bulan lalu.
“Matlamat utama saya mempertahankan kejuaraan Sukan SEA. Saya juga ingin layak ke Kejohanan Dunia dan memperbaiki ranking. World Games juga ada dalam perancangan saya,” kata Shahmalarani.
Bagi merealisasikan sasaran, Shahmalarani kini menjalani latihan intensif di bawah bimbingan jurulatih utama dan turut menambah elemen kekuatan fizikal serta teknik baharu dalam sesi latihannya.
Dia turut memberi tumpuan pada strategi bertanding yang lebih fokus kepada lawan-lawan berprofil tinggi sering dijumpainya dalam kejohanan-kejohanan antarabangsa.
Dengan baki dua aksi Premier League serta Kejuaraan Asia sekitar Jun depan, atlet berusia 25 tahun itu optimis peluangnya masih terbuka untuk terus mengumpul mata berharga demi menembusi kedudukan lima terbaik dunia.
“Walaupun mungkin akan terlepas Premier League seterusnya, masih ada dua lagi kejohanan besar di mana saya boleh terus mengejar ranking,” jelasnya.
Misi Shahmalarani kini jelas iaitu memastikan gelaran Sukan SEA kekal miliknya dan mencipta sejarah baharu dengan kedudukan lebih tinggi di persada dunia.